

KETUA Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim (dua, kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis ganja pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, hari ini. FOTO BERNAMA
KANGAR: Polis Perlis merampas ganja seberat 409 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM1,297,900 dalam serbuan terhadap sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang ditinggalkan di muara sungai di Kuala Sungai Baru, Simpang Empat dekat sini pada Selasa lepas.
Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata rampasan itu dilakukan selepas pihak polis menerima maklumat mengenai bot yang berada dalam keadaan mencurigakan itu pada 2.00 petang, dipercayai membawa bahan disyaki dadah berkenaan di dalam bot itu.
“Pihak Task Force Balai Polis Kuala Perlis bersama Unit Risik Marin Kedah/Perlis, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kangar, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kangar dan anggota Balai Polis Simpang Empat telah menjalankan pemerhatian dan tinjauan selama dua jam di sekitar kawasan bot fiber terbabit.
“Hasil pemerhatian didapati tiada sebarang pergerakan keluar masuk di kawasan bot yang ditinggalkan. Ekoran itu, pihak Task Force Balai Polis Kuala Perlis bersama Unit Marin Kedah/Perlis dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kangar telah menghampiri dan membuat pemeriksaan terhadap bot berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menjumpai kotak-kotak yang di dalamnya berisi bahan disyaki dadah jenis ganja. Kemudian, bot berkenaan dibawa balik ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, hari ini.
Muhammad berkata pemeriksaan lanjut terhadap bot itu menjumpai 24 kotak yang di dalamnya mengandungi 409 ketulan mampat dadah disyaki ganja yang setiap satu ketulan mampat itu seberat 1 kg,” katanya dan memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
— Bernama