
BINTULU: Beberapa laluan utama di sekitar bandar Bintulu akan ditutup secara separa esok bagi memberi laluan kepada acara Bintulu Cops Run 2025, yang dijangka disertai kira-kira 1,500 peserta.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali, berkata larian itu akan bermula dan berakhir di Pentas Utama Farley, melibatkan dua kategori jarak iaitu 5 kilometer (KM) dan 10KM.
“Larian 10KM akan bermula dari Pentas Utama Farley, melalui susur Medan Jaya, sepanjang laluan ke jejambat J5, dan berpatah balik ke Farley.
“Bagi laluan 5KM pula, ia bermula dari Pentas Utama Farley, melalui susur Medan Jaya sehingga ke lampu isyarat Taman Tinggi, kemudian membelok ke kanan dan turun ke bawah sebelum membuat pusingan balik (U-turn) di Jalan Johari Sunam, dan kembali semula ke Farley melalui laluan asal,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, penutupan jalan secara separa akan dilaksanakan serentak di beberapa lokasi bermula 5.30 pagi hingga 10.30 pagi.
Orang awam dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Antara lokasi yang terlibat dengan kawalan lalu lintas termasuk susur Medan Jaya, lampu isyarat Taman Tinggi, lampu isyarat J5, bawah Jejambat Nyabau, hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, lampu isyarat Meridian Sentral, lampu isyarat Jalan Sultan Iskandar, dan lampu isyarat Hospital BMC.
“Penutupan ini adalah secara separa dan tidak melibatkan penutupan penuh.
“Pegawai serta anggota polis trafik akan ditempatkan di lokasi strategik bagi mengawal aliran trafik dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” tambah beliau.
Orang ramai juga diminta mematuhi arahan dan isyarat kawalan lalu lintas yang diberikan oleh anggota polis yang bertugas sepanjang tempoh acara berlangsung.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan ke Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304 atau Balai Polis Trafik IPD Bintulu di talian 086-338575.
Oleh Carolyne Utih