LIMBANG: Usaha Kerajaan Sarawak untuk melonjak dan mentransformasikan sektor pertanian menjadi penyumbang ekonomi Sarawak jelas semakin cerah melalui penambahbaikan laluan udara.
Oleh itu, pembinaan lebih banyak lapangan terbang di Sarawak seperti di Kapit dan Betong adalah satu komitmen Kerajaan Negeri untuk mengalakkan transformasi ekonomi dan pengeksportan produk pertanian ke negara luar khususnya ke Singapura.
Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Kemajuan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, selain perhubungan darat melalui pembinaan jalan, rangkaian perhubungan udara juga diperbanyakkan sekali gus mencapai sasaran menjadikan Sarawak pengeksport produk pertanian menjelang 2030.
Akses yang banyak untuk perhubungan ini penting terutamanya melalui pembinaan lebih banyak lapangan terbang termasuk di Betong dan Kapit untuk memudahkan produk pertanian di eksport ke luar termasuk ke Singapura.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, menyatakan demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kubong semalam.
Turut serta, Pengawai Pertanian (Pembangunan) Bahagian Limbang Jakaria Rambli, Jutera Bahagian Pengaliran dan Saliran (JPS) Bahagian Limbang Hanisah Ahmad dan ketua-ketua jabatan kerajaan lain.
Sementara itu, beliau memberitahu kawasan Kubong di Limbang juga berpotensi untuk dijadikan sebagai kawasan pelancongan agro kerana bentuk muka buminya yang subur dan pelaksanaan projek pertanian termasuk TKPM dan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Produk Pertanian (CPPC) Kubong.
TKPM yang dilaksanakan mengikut tanaman terbuka dan fertigasi keseluruhan bernilai RM2 juta sudah pun bermula mengikut jadual yang ditetapkan.
“Kita dapat melihat projek daripada Kerajaan Pusat ini turut merangkumi tanah seluas 25 hektar untuk diusahakan dengan tanaman seperti nangka madu dan pisang serta disewakan kepada peserta berminat.
Pada masa yang sama, Kerajaan Sarawak juga menyediakan kemudahan asas,seperti pembinaan jalan, bekalan air dan elektrik serta bangunan untuk mereka mengumpul produk pertanian untuk dipasarkan dan projek ini sedang rancak dilaksanakan diseluruh Sarawak,”ujarnya.
Seramai lima peserta terpilih untuk tanaman nangka madu dan seorang peserta untuk mengusahakan tanaman pisang di TKPM Limbang akan terlibat secara langsung dalam projek berkenaan.
Ini merupakan langkah awal untuk melahirkan lebih ramai usahawan tani di Sarawak dan kawasan luar bandar.
Oleh Adeng Idrus