ROBAN: Warga Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Roban berterima kasih kepada wakil rakyat di kawasan itu kerana telah membantu menaik taraf bumbung dewan sekolah berkenaan.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Goi Nguok Kiet berkata, bumbung dewan sekolah tersebut, kini sudah dinaik taraf setelah atapnya digantikan dengan atap baharu.
Peruntukan bagi menaik taraf atap baharu disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir.
“Saya mewakili warga Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Roban ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Chee Kadir kerana telah tampil membantu menaik taraf bumbung dewan sekolah yang sebelum ini telah mengalami kebocoran dan usang.
“Sebelum ini, kami telah mengadukan permasalahan ini dan beliau telah bersetuju untuk memberikan peruntukan bagi menukarkan atap baharu dewan sekolah,” katanya selepas lawatan Chee Kadir ke sekolah itu semalam.
Bukan setakat itu sahaja, menurutnya Chee Kadir sering melawat dan meninjau sekolah berkenaan dan bertanyakan masalah yang sedang dihadapi serta telah banyak menyumbangkan dana kepada PIBG.
“Beliau (Chee Kadir) dilihat begitu komited dalam aspek pendidikan terutamanya sekolah-sekolah di DUN Kabong yang terus diambil perhatian.
“Apabila ada masalah yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran sekolah, beliau segera tampil dengan melihat sendiri dan bertanyakan kepada pihak sekolah masalah yang diutarakan itu,” ujar beliau.
Goi juga turut merakamkan terima kasih kepada Chee Kadir kerana telah menyumbangkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Roban dan Lembaga Pengurusan Sekolah.
Turut hadir, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid; Lu Pau Chee, Pengerusi Ahli Lembaga Pengurusan Sekolah; Jong Thai Bee, Timbalan Yang Dipertua PIBG; Lim Kwang Yien dan Penghulu Roban; Lim Kent Huat.
Oleh Adi Safarman