
DEBAK: Pembabitan penduduk dalam aktiviti pertanian moden masa kini merupakan langkah baik untuk meningkatkan pendapatan sekali gus membantu menjana ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata penduduk setempat termasuk golongan petani perlu beralih kepada konsep pertanian moden bagi meningkatkan hasil pengeluaran mereka.
Katanya, konsep pertanian moden dengan pengeluaran hasil yang banyak akan memberi keuntungan kepada pengusahanya.
“Antara konsep pertanian yang boleh dilaksanakan ialah pertanian secara fertigasi membabitkan Projek Sistem Tanaman Fertigasi dan penggunaan Struktur Perlindungan Hujan (SPH).
“Sistem pertanian moden bukan sahaja memudahkan pengurusan seharian bahkan boleh meningkatkan hasil pengeluaran tanaman,” katanya semasa Majlis Penutupan Kursus Pertanian Moden Sistem Fertigasi Cili dan Terung (APPGM-SDG) anjuran Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) di Kampung Seberang Jalan Suri Debak, semalam.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata konsep pertanian secara hidroponik atau fertigasi wajar dikembangkan dan menggalakkan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas untuk menceburinya kerana ia dapat dijalankan dengan mudah di kawasan kediaman.
“Kaedah pertanian fertigas adalah satu teknik penanaman yang tidak lagi asing di negara ini. Selain itu, hasil tanaman juga boleh digunakan sendiri tanpa sebarang pembaziran.
“Inilah saya rasa salah satu program yang bermanfaat kepada penduduk kampung, namun tidak dipraktikkan secara meluas kerana kesedaran mengenai kebaikannya masih kurang dalam kalangan masyarakat setempat,” ujarnya.
Razi berkata Jabatan Pertanian Bahagian Betong akan melaksanakan program baharu iaitu SPH di Pejabat Pertanian Debak dalam masa terdekat, bagi menyokong pembangunan projek fertigasi di kawasan itu.
Oleh Adi Safarman