
LAWAS: Satu kemalangan melibatkan dua kereta Perodua Myvi dan Honda City serta sebuah motosikal telah meragut satu nyawa.
Menurut kenyataan dari Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mangsa yang terkorban merupakan penunggang motosikal warganegara Indonesia.

Pemandu kereta Perodua Myvi merupakan seorang lelaki dikenali sebagai Mohd Fadzli Ramli yang menaiki kenderaan tersebut bersama isteri dan lima orang anak mereka.
Kesemua mereka dilaporkan selamat, namun Mohd Fadzli mengalami kecederaan di bahagian bahu.
Pemandu Honda City, dikenali sebagai Farah Nasrin Ramli, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penunggang motosikal, dikenali sebagai Nurdin, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, pembonceng motosikal yang juga merupakan warganegara Indonesia mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 10.16 pagi tadi di Kampung Meragang, Bypass Merapok, Lawas, Sarawak.
Pasukan Bomba diketuai pegawai operasi Mursen Timol telah tiba ke lokasi bagi membantu mangsa kemalangan dan melakukan pembersihan di kawasan lokasi kemalangan.
Oleh Adeng Edrus