KUCHING: Kerajaan Sarawak meneruskan perancangan membina tebingan sungai dengan memanjangkannya dari Kampung Tanjung ke Kampung Tupong dan akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek pembangunan itu adalah sambungan kepada pembinaan tebingan sungai dari Kampung Sungai Bedil, Kampung Lintang sehingga ke Kampung Tanjung di Petra Jaya, di sini.
“Hari ini kita telah bersetuju untuk memanjangkannya dari Kampung Tanjung ke Kampung Tupong, dan akhirnya semua tepi sungai Kampung Sungai Bedil hingga ke Kampung Tupong ini akan mempunyai tebingan sungai supaya pembangunan ia setaraf dengan kawasan seberang sungai iaitu bandar raya Kuching.
“Pembinaan tebingan sungai dari Kampung Sungai Bedil ke Kampung Tanjung adalah kira-kira satu kilometer, dan sambungan ini nanti adalah sekitar setengah kilometer hingga ke Kampung Tupong, bermakna keseluruhan adalah 1.5 kilometer,” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja meninjau pembinaan tebingan sungai dari Kampung Sungai Bedil ke Kampung Tanjung Petra Jaya, di sini, semalam.
Menurutnya, perkembangan pembinaan tebingan sungai yang menelan kos RM30 juta itu setakat ini adalah 30 peratus dan 70 peratus lagi akan siap menjelang tahun hadapan.
“Manakala bagi kawasan seberang, kita akan menyambungkan dari Kampung Nombor Tiga hingga ke Kampung Patinggan, bermakna kedua-dua tebingan sungai kita ini dinaik taraf dan menjadi projek infrastruktur pelancongan.
“Semua naik taraf ini sudah tentu akan menarik ramai pelawat dan membolehkan menikmati keindahan yang ada selain landskap tebingan sungai ini juga dapat ditanam dengan tumbuh-tumbuhan untuk mencantikkan lagi flora fauna yang ada di Kuching.
“Ia adalah salah satu pendekatan kita untuk merancakkan lagi infra bandar raya Kuching dari sudut pelancongan selain memberikan banyak lagi peluang perniagaan kepada masyarakat di sini,” jelasnya.
Tambahnya, dengan pembinaan pelbagai infrastruktur di sepanjang tebingan sungai dari Kampung Bintawa ke Kampung Boyan dan seterusnya sehingga Kampung Tupong sudah tentu akan menjadi tarikan pelancong sekali gus mencantikkan bandar raya Kuching.
Turut hadir Menteri Kanan – Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.
Oleh Zarina Abdullah