
SARIKEI: Masjid Nur Permai di Sarikei menerima peruntukan sebanyak RM1.4 juta di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dari 2019 hingga 2025 bagi tujuan menaik taraf kemudahan dan prasarana.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata, ia adalah RTP daripada kerajaan Sarawak.

“Saya berasa bersyukur dan bangga kerana Masjid Nur Permai semakin cantik dan dilengkapi dengan kemudahan dan prasarana melalui bantuan dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) daripada kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Untuk makluman semua, Masjid Nur Permai telah mendapat peruntukan RTP sebanyak RM1.4 juta dari 2019 hingga 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pemanca Chan Phan Chan selaku wakilnya pada majlis ramah tamah Aidilfitri 2025 anjuran Jawatankuasa Masjid Nur Permai, baru-baru ini.
Dalam pada itu, katanya, Aidilfitri merupakan lambang kemenangan, keinsafan dan penghargaan terhadap nilai-nilai murni.
“Dalam semangat Aidilfitri ini, marilah kita mengambil peluang untuk bermaaf-maafan, memperbaharui hubungan dan memperkukuhkan rasa hormat antara satu sama lain,” katanya.
Di majlis sama, Phan Chan turut menyerahkan duit raya kepada kanak-kanak di majlis tersebut.
Oleh Earl Anek