
MUKAH: Sambutan Kaul Mukah bukan hanya sebagai acara untuk menghormati adat resam kaum Melanau, malah turut menjadi platform bagi masyarakat setempat untuk meningkatkan taraf ekonomi.
Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Hanifah Hajar Taib, berkata penganjuran gerai jualan sempena Kaul Mukah memberikan peluang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk mereka.

“Oleh itu, masyarakat tempatan haruslah menggunakan peluang ini dengan sebaiknya.
“Kita berharap semoga lebih ramai lagi pengunjung dari luar kawasan Mukah akan datang ke Pesta Kaul ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis ‘Keman’ Kaul 2025 di Tapak Kaul, Pantai Kala Dana, di sini, hari ini.

Lebih istimewa, ‘Keman’ Kaul yang membawa maksud Majlis Makan Kaul pada tahun ini diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang berkenan hadir untuk bersama-sama ‘berambeh’ dengan masyarakat di sini.
Mengulas lanjut, Dato Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah menjelaskan signifikan majlis ini adalah untuk membentuk platform baharu bagi mengukuhkan keharmonian dan menyemai semangat perpaduan antara pemimpin dan rakyat.
“Majlis ‘Keman’ Kaul pada pagi ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan meraikan hubungan erat antara pemimpin bersama rakyat, khususnya masyarakat di Bahagian Mukah,” ujar beliau.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai; Timbalan Menteri Perancang Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi dan Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh. – UKAS