
Ruben Amorim. Foto AFP
LONDON: Ruben Amorim menegaskan beliau “tidak menyesal” menyertai Manchester United dan akui kehadirannya tepat pada masanya biarpun kelab itu sedang berdepan krisis prestasi yang tidak menentu.
Amorim berdepan tekanan sejak tiba di Old Trafford dari Sporting Lisbon untuk menggantikan Erik ten Hag yang dipecat pada November lalu.
United merosot di tempat ke-15 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas hanya mencatat enam kemenangan di liga sejak dibimbing jurulatih Portugal itu.
“Tidak pernah menyesal. Jika anda bertanya kepada saya empat bulan lalu soalan yang sama, ia tetap jawapan sama malah saya bertambah kuat untuk membantu kelab menempuh detik sukar ini.
“Ya memang kami tidak menunjukkan prestasi yang diinginkan tetapi saya percaya kami boleh berkembang dan maju.
“Ketika ini semua orang dalam kelab sedang berusaha keras untuk memperbaiki dan meningkatkan prestasi pasukan. Objektif ketika ini adalah perbaiki kedudukan dalam liga.
“Kami akan menggunakan semua maklumat untuk membuat persediaan yang lebih baik dalam beberapa tahun akan datang, jadi tiada penyesalan.
“Saya fikir ini adalah puncak yang boleh dicapai oleh jurulatih, jadi saya tidak menyesal sama sekali,” katanya.
Amorim masih berpeluang menyelamatkan kempen United musim ini dengan membawa pulang gelaran di mana anak buahnya bakal turun menentang Athletic Bilbao di separuh akhir Liga Europa, Khamis ini. – AFP