
ENGKILILI: Seramai 202 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi penggal 2025 hingga 2027 di Engkilili telah menerima watikah pelantikan masing-masing dalam majlis yang berlangsung di Dewan Dr Johnical Rayong Ngipa, Skim Skrang, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa berkata persatuan merupakan salah satu platform terbaik kepada KMKK untuk berkhidmat kepada komuniti selain memudahkan agenda-agenda kerajaan disebar luaskan dengan lebih berkesan kepada peringkat akar umbi.
“Dengan wujudnya persatuan ia merupakan platform terbaik untuk KMKK berkhidmat kepada rakyat. Oleh itu, saya berusaha menubuhkan persatuan ini pada 10 tahun lepas sebab saya berfikiran jauh untuk manfaat rakyat.
“Sekarang kita sudah ada platform dan landasan yang tepat untuk berkhidmat bila adanya permasalahan kita selesaikan melalui persatuan sebelum ke peringkat yang seterusnya,” katanya pada majlis perasmian penutupan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 2025 Persatuan Ketua Masyarakat dan Kaunselor (PKMK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili, hari ini.
Rayong sekali lagi menyeru kepada KMKK di Engkilili agar berfikiran positif dan terus teguh bersatu sebagai sebuah pasukan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk pembangunan berterusan di DUN Engkilili.
“Jadi adalah tidak patut kita di Engkilili ini tidak dapat sehaluan, buang yang keruh ambillah yang jernih, yang lepas itu biarkan berlalu seperti mana kamu sebagai ketua kaum apabila gagal menjalankan tugas juga akan dimarahi oleh rakyat seliaan kamu masing-masing
“Demi sebuah pembangunan yang lebih mampan di masa depan, maka saya menyeru agar kita semua tetap teguh dan kekal bersatu di bawah kerajaan GPS,” jelasnya.
Seramai 188 orang tuai rumah daripada kawasan Skim Skrang, kawasan Hilir Skrang, Lemanak dan Merindun, kawasan Skrang Hulu, kawasan Batang Ai Hilir dan kawasan Lidong dalam Daerah Betong menerima watikah pelantikan masing-masing pada majlis itu.
Manakala, seramai tujuh orang penghulu bagi kawasan Pasar Engkilili Kampung Melayu, kawasan Skim Skrang, kawasan Skrang Hilir, kawasan Lemanak dan Merindun, Kawasan Skrang Hulu, Kawasan Batang Ai Hilir, Kawasan Lidong dan kawasan Pekan Engkilili.
Bagi jawatan Kapitan pula menyaksikan seramai enam orang, iaitu dua orang bagi kawasan Engkilili, Pekan Engkilili serta masing-masing seorang bagi kawasan Jelukong, Marup Cina Atas, Merio Cina, Kampung Melayu Engkilili dan Kampung Melayu Merindun.
Majlis kali ini juga mencatatkan sejarah, apabila buat pertama kalinya jawatan penghulu bagi kawasan Kampung Melayu Engkilili berjaya diwujudkan.
Terdahulu, telah berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 PKMK bagi kawasan DUN Engkilili, dengan Tuai Rumah Johnson Damu kekal sebagai pengerusi persatuan untuk tempoh dua tahun akan datang bagi penggal 2025 hingga 2027.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Charlie Keling dan Pegawai Daerah Sri Aman, Mohamad Hafiz Kepli.
Oleh Adi Safarman