ADI SAFARMAN
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong mengimpikan lebih ramai lagi golongan belia di Daerah Kanowit berjaya di dalam bidang sukan hingga peringkat lebih tinggi.
Menurut beliau, belia di kawasan Kanowit itu kini melahirkan ramai jaguh atlet dan menyumbang nama pada beberapa sukan besar sebelum ini.
“Belia Kanowit banyak menyumbangkan nama dan mewakili Sarawak seperti dalam acara sukan memanah pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak, mewakili pasukan bola sepak peringkat negeri Sarawak dan banyak lagi.
“Momentum seperti ini harus diteruskan dan saya akan sedaya upaya memberi sokongan moral dan apa-apa bantuan kepada belia kita agar, belia kita tidak akan ketinggalan serta menaikkan nama belia Kanowit ke peringkat yang lebih tinggi” katanya semasa berucap pada Program Belia Bersama ADUN Machan dekat sini semalam.
Allan berkata, setiap belia terutamanya kepada golongan pelajar sekolah diseru untuk mengambil peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan sekolah amnya, bagi menonjolkan bakat masing-masing dalam bidang sukan yang diceburi.
“Ambil peluang ini sebagai batu loncatan untuk mengasah bakat anda, agar pihak sekolah mampu melatih anda untuk menjadi atlet yang berkebolehan bagi mewakili sekolah, daerah ataupun negara satu masa kelak seperti atlet lain yang membanggakan nama negara,” katanya.
Jelas Allan, beliau yakin dan percaya satu hari nanti Kanowit juga akan melahirkan ramai atlit yang berjaya diperingkat sukan yang berprestij tinggi seperti SUKMA, Sukan SEA, Sukan Olimpik dan sebagainya.
“Saya berharap pihak berkenaan dan juga ibu bapa bersedia untuk bersama-sama menjadikan daerah Kanowit ini sebagai salah sebuah daerah yang akan membekalkan negara kita dengan atlit-atlit yang cemerlang di pelbagai peringkat,” ujarnya.
Turut hadir, Ketua Pemuda N.50 Machan, Brendan Ullok, Presiden Ahli Jawatankuasa Kelab Sukan Rekreasi Muhibah/ Root Ft, Mohd Ali Mohd Iskandar mewakili Shazrinnizam Mahat, Mark Jennison dan Liong Yeu Hui selaku Naib Presiden Ahli Jawatankuasa Kelab Sukan Rekreasi Muhibah.
Majlis turut diserikan lagi dengan majlis penyerahan jersi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) oleh Allan Siden Gramong dan Penyerahan Borang Ahli Pemuda PBB yang baharu yang disaksikan oleh Ketua Pemuda N.50 Machan, Brendan Ullok.