

SELAMAT… Tujuh mangsa terselamat dalam kemalangan kendiri yang berlaku di Kampung Punggu Dadak Jalan Sri Aman-Serian hari ini. Foto PGO Bomba Sarawak
SRI AMAN: Tujuh termasuk tiga kanak-kanak serta seorang bayi berusia enam bulan cedera selepas mengalami kemalangan kendiri jalan raya di Kampung Punggu Dadak Jalan Sri Aman-Serian hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman telah menerima panggilan kecemasan sekitar 7.45 pagi.
Seramai tiga anggota BBP Sri Aman yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan 2, Nicholas Langi telah dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan tersebut.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dilokasi kejadian, didapati benar kemalangan kendiri melibatkan kenderaan Perodua Viva dan terdapat tiga mangsa dewasa dan seorang bayi cedera serta tiga kanak-kanak tidak mengalami kecederaan.
“Seramai tujuh mangsa di dalam kenderaan terbabit,” katanya dapam satu kenyataan hari ini.
PGO berkata PKO terus membuat penilaian awal dilokasi menggunakan pakaian perlindungan diri (PPE) yang lengkap dan menggunakan peralatan (begi kit kecemasan) untuk membuat rawatan awal pada seorang mangsa wanita.
“Manakala tiga lagi mangsa dirawat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Seterusnya kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sri Aman 2 dengan menggunakan jentera pasukan bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) bomba dan ambulan KKM.
“Kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan dan rawatan selanjutnya,” katanya.
Oleh Adi Safarman