
BETONG: Projek penyelenggaraan dan menaik taraf jalan ladang sepanjang 5.199 kilometer di jajaran Jalan Paya Bakong dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas sedang giat dilaksanakan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM12 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam, berkata projek berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa menerusi dana di bawah Program Projek Rakyat dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Fasa pertama projek yang bernilai RM6 juta telah bermula pada 21 April lalu dan dijadual siap dalam tempoh 12 bulan, iaitu menjelang April tahun hadapan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bersama agensi pelaksana di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, hari ini.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata, fasa kedua projek akan melibatkan pembinaan sebuah jambatan konkrit sepanjang 35 meter dengan kos tambahan sebanyak RM6 juta.
“Jambatan ini amat penting kerana kawasan sekitar dipenuhi kebun kecil milik penduduk. Pembinaan jambatan konkrit bagi menggantikan jambatan gantung sedia ada bakal memudahkan pekebun, khususnya penanam sawit, untuk membawa keluar hasil mereka,” jelasnya.
Untuk makluman, terdapat tiga kampung utama yang terletak di sepanjang laluan projek ini, iaitu Kampung Bungey, Kampung Babu, dan Kampung Bungey Lalang dekat Debak.
Turut hadir dalam mesyuarat ialah Jurutera JKR Bahagian Betong Jason Ng Boon Tuan, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Betong Morris Nayup, ketua-ketua kampung terlibat serta wakil pelbagai agensi kerajaan berkaitan.
Oleh Adi Safarman