
SIBU: Penduduk di kawasan Sungai Rassau, Batang Igan diseru untuk menubuhkan sebuah pertubuhan khusus bagi menyuarakan isu dan keperluan pembangunan rakyat kepada kerajaan Sarawak secara lebih berstruktur.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan, berkata pertubuhan tersebut bakal memainkan peranan yang lebih menyeluruh berbanding Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang hanya mewakili sesebuah rumah panjang.
“Berbeza dengan JKKK, pertubuhan ini boleh merangkumi keseluruhan rumah panjang di kawasan Rassau bagi memudahkan perancangan dan pelaksanaan pembangunan secara menyeluruh,” katanya ketika berucap dalam Program Randau Pemansang anjuran JKKK Rumah Salim Unang, Sungai Rassau, Batang Igan Tengah, hari ini.
Menurutnya, kawasan Rassau berpotensi untuk dibangunkan sebagai jelapang padi atau Sago Belt, selain sesuai untuk aktiviti penternakan udang secara komersial.
“Namun semua rancangan ini memerlukan kesatuan dalam kalangan penduduk di bawah satu payung, khususnya Gabungan Parti Sarawak (GPS),” tambah beliau.
Sementara itu, Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan komuniti di kawasan tersebut bagi memastikan pembangunan berterusan.
“Saya akan terus menjalinkan hubungan erat bersama ketua masyarakat dan penduduk di sini untuk membangunkan kawasan Bawang Assan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan program Randau Pemansang sebagai satu platform penting untuk menyampaikan maklumat secara langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Program seperti ini bukan sekadar tempat berkumpul, tetapi ruang untuk kita mempererat hubungan dan menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama,” ujarnya.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu.
Turut hadir, Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Ketua Cawangan PBB Bawang Assan, Romeo Christopher Tegong, serta beberapa pemimpin tempatan lain.
Oleh Akun Giman