
BAU: Sebuah kemalangan membabitkan dua buah kenderaan dilaporkan berlaku di Jalan Serikin, berhampiran simpang menuju ke Kampung Stass, pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada 10.06 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai.
Komander Operasi, Penguasa Kanan Pegawai Bomba (PKPgB) Zainuddin Ngatdemon, berkata kemalangan membabitkan sebuah lori tiga tan dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
“Sebaik tiba di lokasi pada 10.20 pagi, pasukan mendapati pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun, tiga mangsa dalam kereta Kancil didapati tersepit di dalam kenderaan,” katanya.
Tambahnya, seorang lelaki dewasa berjaya dikeluarkan dalam keadaan cedera, manakala dua lagi mangsa, seorang lelaki dan seorang wanita, masih berada di dalam kenderaan semasa laporan dibuat.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Oleh Amanda L.