
SIBU: Sebuah premis kedai makanan telah dikompaun oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) atas kesalahan membuang dan memasukkan sisa makanan ke dalam longkang dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan semalam.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS, Kaunselor Yiing Sy Huat, berkata operasi tersebut turut disertai oleh ahli majlis, pegawai kesihatan awam, dan penguat kuasa majlis, melibatkan kawasan sekitar Jalan Causeway, Raminway, Jalan Morshidi Sidek, Jalan Wong Nai Siong dan Jalan Kampung Nyabor.
“Sebanyak 17 premis kedai makanan telah diperiksa, dan daripada jumlah itu, 10 premis telah diberikan notis kebersihan,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara tindakan penguatkuasaan yang diambil termasuk rampasan plastik straw daripada sebuah premis, serta peralatan dapur yang lama, sumbing, pecah dan berkarat daripada lapan premis lain.
Menurut Yiing, pelbagai kesalahan turut dikesan sepanjang operasi berkenaan.
Antaranya, keadaan kebersihan premis yang kurang memuaskan, memaksa pemilik diarahkan melakukan pembersihan segera, peralatan tidak digunakan dibiarkan dalam premis, grease trap tidak dipasang atau tidak berfungsi dengan baik, penapis sisa makanan (food waste strainer) tidak dipasang di gerai makanan ringan dan diarahkan untuk dipasang.
Selain itu, katanya, kipas ekzos dalam tandas tidak bersih dan tiada pencuci tangan disediakan, penutup tempat duduk mangkuk tandas tiada dan diarahkan untuk dipasang, sistem flush tandas tidak berfungsi dengan baik dan diarahkan untuk diselenggara, pemeriksaan kawalan makhluk perosak (pest control) tidak dilakukan dan diarahkan supaya dibuat segera.
Sementara itu, lain-lain faktor ialah bahan makanan disimpan bersama bahan kimia, dan diarahkan untuk diasingkan, bahan mentah dalam peti sejuk tidak diletakkan dalam bekas yang sesuai dan tidak bertutup, berisiko menyebabkan pencemaran silang, barangan makanan dan minuman tidak diletakkan di atas rak atau pelantar, dan kehadiran haiwan peliharaan seperti kucing di dalam premis.
Tegasnya, pematuhan terhadap aspek kebersihan dan keselamatan makanan adalah tanggungjawab setiap pemilik premis, demi memastikan kesejahteraan pengguna terpelihara.
Oleh Akun Giman