Projek naik taraf SK Jalan Arang bernilai RM200,000 diserah secara rasmi

Facebook
WhatsApp
PENYERAHAN PROJEK… Ahli Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kaunselor Alvin Chong mewakili Dato Ir Lo Khere Chiang pada majlis penyerahan projek naik taraf SK Jalan Arang bernilai RM200,000.

KUCHING, 3 November: Projek menaik taraf kemudahan Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Arang bernilai RM200,000 telah diserahkan secara rasmi bagi membolehkan kerja penambahbaikan infrastruktur dan persekitaran sekolah dilaksanakan.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, projek berkenaan melibatkan pemasangan bumbung tambahan, kerja menurap semula jalan serta pembinaan pagar tambahan di sepanjang bahagian tepi kawasan sekolah.

Menurutnya, penambahbaikan infrastruktur sekolah penting bagi menjamin keselamatan murid dan guru, selain menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih selesa serta kondusif.

Beliau berkata, usaha menaik taraf kemudahan sekolah perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memenuhi keperluan warga sekolah dan menyokong aktiviti pembelajaran harian murid.

Lo berkata demikian sempena lawatan dan majlis penyerahan rasmi projek berkenaan yang diadakan baru-baru ini.

Beliau diwakili Ahli Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kaunselor Alvin Chong, yang hadir bagi menyaksikan penyerahan projek serta meninjau pelaksanaan kerja yang dirancang

Majlis penyerahan itu turut disaksikan Guru Besar SK Jalan Arang, Magdalene, dengan wakil MPP, Isaac, menyerahkan projek berkenaan kepada wakil kontraktor yang dilantik, Syarikat Strategi Maju Jaya.

Dalam pada itu, Lo merakamkan penghargaan kepada MPP, pihak pengurusan sekolah serta kontraktor yang dilantik atas kerjasama dan penyelarasan sepanjang proses perancangan serta penyerahan projek.

Beliau turut berharap kerja menaik taraf kemudahan sekolah berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya, usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur sekolah merupakan antara aspek penting dalam pembangunan komuniti

Sehubungan itu, beliau akan terus memberi perhatian terhadap keperluan sekolah dan masyarakat di seluruh kawasan Batu Kitang, selain bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menambah baik kemudahan awam demi kesejahteraan penduduk.

Oleh Connie Chieng