VAN (Turki): Tujuh anggota keselamatan maut dalam nahas udara di wilayah Van, timur Turki, lapor agensi berita Anadolu memetik Menteri Dalam Negeri pada Khamis.
Nahas berlaku apabila pesawat yang membawa mereka terhempas di kawasan pergunungan.
“Kami kehilangan tujuh anggota, dua daripada mereka adalah juruterbang,” kata menteri Suleyman Soylu.
Pesawat itu terhempas pada ketinggian 2.200 meter di Gunung Artos, tambah Soylu.
Pesawat malang itu berlepas dari Lapangan Terbang Van Ferit Melen pada 6.35 petang waktu tempatan (1535GMT).
Soylu berkata pesawat model 2015 itu sedang menjalankan kerja-kerja pengawasan dan meninjau wilayah Van dan Hakkari.
Kali terakhir juruterbang menghubungi menara kawalan ketika berada di sekitar daerah Baskale pada 10.32 malam (1932GMT) sebelum terputus hubungan kira-kira jam 10.45 malam (1945GMT).- Bernama