
KUCHING: Seramai 32 ahli majlis Majlis Daerah Serian (MDS) bagi penggal 2025 hingga 2028 hari ini mengangkat sumpah dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Hotel Grand Margherita.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelantikan rasmi Datuk Peter Minos sebagai Pengerusi baharu MDS.
Beliau bukanlah nama asing dalam arena pentadbiran tempatan, pernah berkhidmat sebagai Walikota Majlis Perbandaran Kota Samarahan sebelum ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, yang juga Pengerusi Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), ketika ditemui selepas majlis itu berkata pembangunan di Serian perlu dipercepatkan memandangkan masih terdapat kelewatan dalam pelaksanaan beberapa projek yang telah diluluskan.
“Kita meminta semua agensi, bukan hanya pihak majlis, yang telah diamanahkan untuk melaksanakan projek-projek di bawah GKCDA, termasuk Projek Transformasi Luar Bandar, supaya mempercepatkan pelaksanaannya,” katanya.
Beliau merujuk kepada kenyataan Premier Sarawak baru-baru ini yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap projek-projek yang telah diluluskan tetapi masih belum dilaksanakan.
“Perkara ini bukan hanya melibatkan majlis daerah semata-mata. Bila kita bercakap tentang isu tanah contohnya, ia turut melibatkan jabatan lain. Antara agensi pelaksana utama termasuklah JKR dan pelbagai agensi teknikal lain,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai jumlah projek yang masih belum dilaksanakan di Serian, beliau mendedahkan bahawa terdapat lebih 20 projek di bawah GKCDA sahaja yang masih tertangguh, tidak termasuk projek daripada agensi dan jabatan lain.
“Ada projek besar, ada juga projek kecil. Ada yang telah berjalan, namun masih banyak lagi yang perlu dipercepatkan pelaksanaannya,” jelasnya.
Roland menegaskan bahawa penyelarasan antara agensi perlu ditingkatkan bagi memastikan rakyat di Serian mendapat manfaat pembangunan dengan lebih cepat dan menyeluruh.
Oleh Amanda L.