
BELAGA: Projek Tapak Warisan Seni Budaya Apau Koyan, yang dijangka menjadi mercu tanda baharu bagi masyarakat Orang Ulu di daerah ini, secara rasmi dimulakan menerusi Majlis Pecah Tanah yang berlangsung, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon, berkata pembangunan projek ini amat dinanti-nantikan dan dilihat sebagai usaha penting untuk memelihara serta memperkasa warisan budaya tempatan.
“Projek Tapak Warisan Seni Budaya Apau Koyan ini telah lama kita nantikan. Ia bakal menjadi lambang identiti dan jati diri masyarakat Orang Ulu di kawasan ini.
“Warisan seni, budaya, bahasa, tarian, kraftangan, serta adat resam adalah khazanah yang sangat berharga.
“Tanggungjawab kita ialah memastikan ia tidak hilang ditelan zaman dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.
Tambah beliau, projek tersebut merupakan satu inisiatif yang diluluskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai bukti komitmen kerajaan Sarawak terhadap pembangunan luar bandar secara inklusif.
“Kita amat bersyukur kerana impian untuk melihat Tapak Pesta Kebudayaan Apau Koyan berkembang menjadi sebuah Tapak Warisan Seni Budaya yang lengkap, berfungsi sebagai pusat rujukan, pembelajaran, dan pelancongan budaya – kini menjadi kenyataan.
“Saya menyokong penuh pelaksanaan projek ini kerana ia bukan sahaja memperkukuh semangat komuniti, tetapi turut membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat dalam bidang pelancongan komuniti, kraftangan, persembahan kebudayaan, dan pelbagai lagi,” katanya lagi.
Beliau turut menyarankan semua pihak agar bekerjasama bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut jadual dan standard yang ditetapkan.
“Doa serta harapan kita agar projek ini dapat direalisasikan dengan lancar dan menjadi pusat warisan budaya yang hidup, aktif dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.
“Semoga Tapak Warisan Seni Budaya Apau Koyan menjadi permata kebudayaan yang menyinari Belaga dan seluruh Sarawak,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Abang Zainudin Abang Turkey, Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah, Pemanca Umek Jeno, Pengerusi Lembaga Amanah Komuniti Apau Koyan Belaga, ketua-ketua jabatan, wakil agensi kerajaan, dan swasta, serta pemimpin masyarakat dan kaum.
Oleh Carolyne Utih