
KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Dato Mancha Ata, merasmikan dan menyaksikan beberapa siri majlis penyerahan tugas melibatkan jawatan tertinggi dalam Polis Kontinjen Sarawak, yang berlangsung di Dewan Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
Majlis dimulakan dengan penyerahan tugas oleh SAC Nor Omar Sappi, yang telah dinaikkan pangkat ke jawatan Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC).
Penyerahan tersebut disempurnakan oleh CP Dato Mancha sendiri.
Seterusnya, berlangsung acara penyerahan tugas Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam daripada Supt. Samima Mustapha kepada SAC Nor Omar Sappi.
Dalam ucapannya, Mancha menyatakan keyakinan terhadap barisan kepimpinan baharu dengan berkata:
“Saya percaya pegawai yang dilantik hari ini akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti, profesionalisme dan dedikasi dalam menjaga keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sarawak.”

Majlis turut menyaksikan penyerahan tugas rasmi Ketua Polis Daerah Kuching dan Miri antara ACP Alexson Naga Chabu dan ACP Mohd Farhan Lee Abdullah.
Selain itu, turut diadakan penyerahan tugas Pengerusi PERKEP IPD Kuching dan Miri daripada Puan Jesselyn Roland Demong kepada Puan Arabia Abdul Rahim, yang disaksikan oleh Puan Puspawati Hj Mohd Aris, Ketua Biro Kebajikan PERKEP Kontinjen Sarawak.
Turut hadir Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Formasi, Ketua-ketua Polis Daerah berdekatan, anggota PERKEP Sarawak, serta pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Sarawak.
Oleh Connie Chieng