
Foto AFP
LONDON: Peminat Liverpool kini sedang bersiap sedia untuk meraikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang semakin hampir menjadi milik mereka dengan satu perarakan dijangka yang terbesar dalam sejarah gemilang kelab itu.
The Reds melangkah jauh di hadapan dalam musim sulung Arne Slot sebagai pengurus, dan kini memegang kelebihan besar 13 mata berbanding Arsenal di tangga kedua.
Jaringan lewat menakjubkan oleh Trent Alexander-Arnold menentang Leicester City mengekalkan mereka di landasan untuk memenangi liga dengan bergaya.
Sekiranya Arsenal tewas kepada Crystal Palace pada awal pagi Khamis ini, maka gergasi Merseyside itu akan disahkan sebagai juara.
Namun, jika skuad Mikel Arteta itu menang atau seri, maka kemenangan atau keputusan seri menentang Tottenham di Anfield pada Ahad akan mengesahkan kejuaraan buat skuad Red Machine kendalian Slot.
Ini kerana Liverpool hanya memerlukan tiga mata daripada lima baki perlawanan mereka untuk mengesahkan kejuaraan di luar jangkauan Arsenal.
Kejayaan yang bakal tiba itu akan menjadi kejuaraan EPL ke-20 mereka, menyamai rekod Manchester United sekali gus mengukuhkan lagi status Liverpool sebagai kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Inggeris berdasarkan jumlah trofi utama dimenangi.
Kali terakhir Liverpool merangkul kejuaraan liga adalah di bawah kendalian Jurgen Klopp pada 2020, apabila mereka menang 26 daripada 27 perlawanan liga pertama, mengatasi semua pencabar sebelum pandemik Covid-19 yang memaksa baki musim itu disambung tanpa kehadiran penonton.
Disebabkan pandemik itu, mereka tidak dapat meraikan bersama penyokong atau mengadakan perarakan trofi di seluruh bandar.
Namun, tahun ini mereka berpeluang melakukan kedua-duanya, dengan trofi EPL dijangka akan diserahkan kepada The Reds selepas perlawanan terakhir musim ini, menurut laporan Mirror.
Liverpool akan menentang Crystal Palace di Anfield pada 25 Mei, menandakan kali pertama peminat akan menyaksikan pasukan mereka menjulang trofi kejuaraan liga secara langsung sejak Mei 1990.
Walaupun pelan rasmi untuk perarakan belum disahkan, acara-acara sebelum ini memberi gambaran tentang apa yang mungkin berlaku.
Mengimbas kembali tiga tahun lalu, Liverpool mengadakan perarakan besar untuk meraikan kejayaan memenangi Piala FA dan Piala Liga, sehari selepas mereka tewas dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara kepada Real Madrid di Paris.
Sebelum itu, mereka turut mengadakan perarakan besar selepas menjulang Piala Eropah keenam mereka pada 2019, yang dihadiri kira-kira 750,000 penyokong.
Namun, lebih ramai penyokong dijangka hadir tahun ini kerana kejuaraan liga telah hampir dipastikan lebih awal yang memberikan lebih banyak masa kepada peminat untuk merancang dan turut serta dalam sambutan bersejarah itu. – AFP