KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir mengingatkan kepada masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong agar sentiasa berwaspada dan tidak memandang ringan ancaman pandemik Covid-19.
Beliau berkata dalam keadaan sekarang orang ramai tidak boleh leka dan memandang ringan ancaman Covid-19, kerana virus itu tidak nampak pada mata kasar serta boleh menjadi ancaman besar jika penduduk leka.
“Saya mengingatkan kepada masyarakat terutamanya di DUN Kabong agar meneruskan amalan norma baharu, dan patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang disaran oleh kerajaan bagi memastikan wabak Covid-19 tidak menular kepada penduduk,” katanya semasa melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Micheal Plassu, Roban dekat sini semalam.
Chee Kadir berkata, catatan kes jangkitan yang terbaru masih dilaporkan berlaku di Kuching dan Bintulu ketika ini perlu diberi perhatian oleh penduduk.
Lantaran itu katanya ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak yang turun ke sekolah supaya sentiasa berhati-hati dan selalu mencuci tangan serta jangan bergaul secara rapat dengan rakan-rakan semasa di sekolah.
Dan tambahnya jangan hantar anak ke sekolah jika anak didapati tidak sihat atau demam.
“Pantai Tanjung Kembang contohnya, menyaksikan kehadiran pengunjung yang ramai pada setiap hujung minggu. Saya juga ingin mengingatkan orang ramai supaya menitik beratkan keselamatan serta mempraktikkan penjarakan sosial.
“Kita mahu kawasan di daerah ini terus kekal sebagai kawasan hijau dan tidak mencatatkan sebarang kes. Amalkan kebersihan sebagaimana yang disarankan dan guna penutp hidung dan mulut jika berada di kawasan seperti pasar raya dan tempat awam yang terdapat ramai orang.
“Apa yang perlu kita semat dalam fikiran kita sekarang, kita kini masih belum selamat sepenuhnya daripada ancaman wabak Covid-19.
“Kita perlu sentiasa berwaspada selalu dan ingat kepada ungkapan ‘Kita Jaga Kita’, ‘Putuskan Rantaian Covid-19’ dan ‘Kita Mesti Menang’,” ujar Chee Kadir.
Justeru katanya, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk terus kekal patuhi SOP dan amalkan kawalan kendiri bagi bersama-sama memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam negara.