
BERBEKALKAN minat mendalam terhadap seni lukis dan solekan, Suzana Abdullah mengasah bakatnya dalam bidang solekan kesan khas (SFX) dengan hasil kreativitinya dipaparkan sebagai kandungan video di media sosial.
Walaupun tidak pernah mengikuti sebarang kursus profesional dan hanya ‘berguru’ dengan platform dalam talian serta rujukan antarabangsa, wanita dari Segamat, Johor ini memahiri teknik solekan artistik termasuk berbentuk menyeramkan.
“Saya memang minat melukis dari kecil. Kalau dulu lukis atas kertas sekarang cuba lukis muka pula. Biasanya tengok video TikToker dari luar negara, kemudia belajar menerusi trial and error,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Lebih selesa dipanggil sebagai Nana, wanita berusia 40-an ini berkata bahan solekan yang digunakan termasuk lateks khas, tanah liat, gam prostetik serta kanta lekap bagi menzahirkan visual, sama ada bercorak fantasi, seram atau futuristik.

Antara projek yang mencuri tumpuan pengguna media sosial menerusi akaun @nanajer baru-baru ini ialah teknik membalut wajah dengan benang halus termasuk bahagian hidung, yang mengambil masa lebih tiga jam untuk disiapkan.
“Cabaran paling besar ialah bernafas, sebab hidung saya tertutup sepenuhnya dan benang itu berbau kuat. Saya hanya bernafas melalui mulut sepanjang sesi solekan dan rakaman,” katanya yang tertarik mencuba solekan menyerupai anak patung itu.
Walaupun kerja solekan jenis ini memerlukan masa dan ketelitian, Nana berkata dia menikmati proses kreatif tersebut dan menganggapnya sebagai terapi diri.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu juga pernah bereksperimen menghasilkan efek darah yang lebih dramatik, namun kandungan tersebut tidak dapat dikongsikan sepenuhnya di media sosial kerana sekatan garis panduan platform yang menganggap video sedemikian sebagai kandungan sensitif.
“Walaupun kurang pengalaman dan belum pernah terlibat dengan produksi profesional, saya terbuka kalau ada peluang. Saya harap masyarakat lebih menghargai kerja seni seperti ini,” katanya yang kini menghasilkan kandungan secara sambilan sambil membantu perniagaan keluarga. – Bernama