SIMANGGANG: Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Simanggang telah melakukan persiapan awal bagi menghadapi sesi pembukaan penuh sekolah terutama sekali untuk murid Tahun 5 dan 6 pada Rabu lepas.
Antara persiapan awal berkenaan adalah menaik taraf kemudahan fizikal yang terdapat di sekolah tersebut, mengecat semula blok B, blok D, blok pentadbiran dan juga mengecat pagar sekolah.
Selain itu kerja pemasangan jubin lantai di laluan kaki lima blok B dan menaik taraf bilik air juga turut dilaksana sambil menyediakan lebih banyak kemudahan membasuh tangan di hadapan setiap bilik darjah bagi tujuan kegunaan murid.
“Persediaan ini telah dilaksanakan oleh pihak Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) SJK Chung Hua Simanggang sepanjang tempoh penutupan sekolah pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Tujuan utamanya adalah bagi mengekalkan keceriaan murid ketika kembali bersekolah di samping membantu mereka menyesuaikan diri dalam norma baharu pada pasca Covid-19,” kata Pengerusi LPS, Temenggung Kueh Aik Seng.
Selain itu pihak LPS SJK Chung Hua Simanggang kata beliau juga amat menitik beratkan pematuhan murid terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) pada pasca pandemik dengan menyediakan satu video ringkas berhubung perkara itu.
Video yang mengandungi maklumat pematuhan SOP di sekolah berkenaan katanya dikirim menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp atau dimuat naik di laman web Facebook mereka untuk dibaca oleh ibu bapa murid.
“LPS SJK Chung Hua Simanggang mahu murid kekal mematuhi SOP seperti penjarakan sosial, mencuci tangan secara kerap dan penjagaan kebersihan diri secara berterusan.
“Malah pihak kantin sekolah juga akan menyediakan pesanan awal (pre order) dengan murid hanya dibenarkan menikmati sarapan masing-masing di bilik darjah ketika berlangsung waktu rehat,” kata Kueh.
Justeru, pihak LPS SJK Chung Hua Simanggang kata beliau berharap inisiatif-inisiatif yang dilaksana oleh pihaknya sebelum ini dapat mengekalkan keceriaan para murid di sekolah di samping menyumbang kepada proses pembelajaran yang efektif dari masa ke semasa.
Kueh turut merakam penghargaan kepada Kerajaan Sarawak kerana menyalur peruntukan sebanyak RM200,000 menerusi Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis bagi tujuan naik taraf kemudahan di sekolah mereka kami sebelum ini.
Terdahulu Kueh bersama pihak LPSnya telah pun menyambut ketibaan Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Dr Abang Adam Abang Deli dan rombongan yang hadir di SJK Chung Hua Simanggang bagi meninjau sesi pembukaan penuh sekolah di situ.
Menerusi sesi lawatan itu, Abang Adam telah diundang untuk menyaksikan upacara penyerahan sebanyak 6,500 keping pelitup muka daripada Kueh kepada Guru Besar SJK Chung Hua Simanggang, Chin Kui Nam di hadapan sekolah berkenaan.
5,000 daripada 6,500 keping pelitup muka berkenaan telah disumbang oleh Tabung Dana Pendidikan dan Kebajikan Ngu Siong Wu dengan baki 1,500 keping lagi disumbang oleh Naib Pengerusi LPS, Datuk Law Hee Huat.
Oleh Valentine Ngumbang