
IPSWICH: Mikel Arteta berharap Bukayo Saka cergas dan boleh diturunkan untuk aksi Liga Juara-Juara bertemu Paris Saint-Germain (PSG) hujung bulan ini selepas pemain itu mengalami kecederaan teruk ketika aksi menentang Ipswich yang menyaksikan Arsenal menang 4-0.
Saka terpaksa di bawa keluar di awal babak kedua dan terpaksa diberi rawatan segera di buku lali kaki kanannya dengan meletakkan ais bagi meredakan kesakitan.
Kecederaan itu berpunca pertembungan dengan Leif Davis yang menyaksikan dilayangkan kad merah ekoran insiden itu.
Arteta tetap menaruh keyakinan pemain antarabangsa England itu akan pulih segera dan bersedia untuk bermain menentang PSG di Emirates pada 29 April ini.
“Saya fikir mungkin pemain lawan tidak berniat (melakukan terjahan keras) tetapi ia tetap berbahaya.
“Saya sememangnya bimbang dengan situasi semasa di mana kami kehilangan pemain yang boleh menjaringkan gol untuk pasukan dan insiden terjehan itu agak keterlaluan.
“Pemain lawan melakukan terjahan dari belakang. Pengadil sudah membuat keputusan dan ia satu keputusan yang tegas daripada pengadil.
“Kecederaan itu mungkin boleh sembuh segera dan kita harap Saka kembali bermain untuk aksi penting dengan PSG nanti,” katanya yang mengulas tentang insiden terjahan keras itu.
Dalam aksi itu, empat gol Arsenal disumbangkan oleh Leandro Trossard di minit 14 dan 69, Gabriel Martinelli (m-28) dan Ethan Nwaneri (m-88).
Kata Arteta lagi, beliau gembira melihat persembahan bertenaga anak buahnya dan berharap momentum itu dikekalkan hingga akhir musim.
“Saya terlalu gembira, gembira dengan persembahan pasukan. Bagi saya, 35 minit pertama adalah aksi paling terbaik pernah kami berikan,” katanya. – AFP