
KEBANYAKAN daripada kita pasti berasa teruja apabila melihat kapal terbang melintas di langit, lebih-lebih lagi apabila berpeluang menaiki pesawat itu sendiri. Pengalaman ini selalunya akan diabadikan dengan mengambil gambar sebagai kenangan.
Namun, pernahkah anda terfikir untuk mengetahui lebih lanjut tentang pesawat tersebut? Setiap pesawat terbang mempunyai identiti unik yang tertera di badan atau di sayap pesawat.
Identiti ini dinyatakan dalam satu set huruf atau nombor yang juga merupakan kod pendaftaran rasmi untuk pesawat, sama fungsinya seperti kad pengenalan untuk kita penduduk di Malaysia.
Kod pendaftaran ini ditetapkan berdasarkan garis panduan yang ditentukan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

ICAO sebuah organisasi antarabangsa yang mengawal selia aktiviti penerbangan global menetapkan sistem kod pendaftaran untuk pesawat yang beroperasi di setiap negara berdasarkan Annex 7.
Oleh itu, setiap negara mempunyai kod awalan unik yang menjadi sebahagian daripada kod pendaftaran pesawat.
Sebagai contoh, kod pendaftaran untuk Malaysia ialah ‘9M’. Jadi kod awalan ini akan menunjukkan bahawa pesawat tersebut didaftarkan di Malaysia.
Bagi negara lain seperti Indonesia, kod awalan yang ditetapkan ialah ‘PK’ atau untuk Singapura pula ialah ‘9V’. Kod awalan ini membentuk asas nombor pendaftaran yang kemudiannya diikuti dengan kombinasi huruf atau nombor tertentu yang ditetapkan oleh CAAM.
CAAM bertanggungjawab dalam memantau dan mengesahkan pendaftaran pesawat di Malaysia.
Pesawat yang didaftarkan mestilah mematuhi peraturan dan piawaian penerbangan yang telah ditetapkan misalnya pesawat wajib diperiksa sepenuhnya bagi memastikan kelayakan keselamatan untuk dibenarkan terbang.
Oleh itu, jika pesawat tidak memenuhi ketetapan ini atau gagal dalam proses pemeriksaan, maka kod pendaftaran bagi pesawat berkenaan tidak akan dikeluarkan sekali gus menyebabkan pesawat tidak boleh beroperasi.
Selain itu, CAAM juga bertanggungjawab memastikan setiap kod pendaftaran adalah unik dan tidak bertindih dengan pesawat lain yang didaftarkan di dalam negara.
Hal ini penting untuk mengelakkan kekeliruan dalam sistem pengurusan pesawat di peringkat antarabangsa.
Di Malaysia, syarikat penerbangan cenderung mendapatkan kod pendaftaran yang agak seragam seperti Malaysia Airlines mempunyai pesawat dengan kod pendaftaran 9M-MXA, 9M-MXF dan 9M-MXK. Bagi AirAsia pula ada 9M-AHE, 9M-AHJ dan 9M-AHL.
Jadi bagaimana kita boleh mendapat maklumat pesawat ini berdasarkan kod pendaftaran? Terdapat pelbagai laman sesawang dan aplikasi yang membolehkan kita mendapatkan maklumat terperinci tentang pesawat hanya dengan memasukkan kod pendaftaran.

Flightradar24 adalah salah satu laman sesawang paling popular untuk menyemak maklumat pesawat. Laman ini menyediakan data penerbangan secara langsung, termasuk lokasi pesawat, kelajuan, ketinggian dan destinasi.
Dengan memasukkan kod pendaftaran seperti “9M-MTG”, kita boleh mendapatkan maklumat seperti jenis pesawat, pemilik pesawat dan status semasa pesawat tersebut.
Planespotters.net pula lebih fokus kepada sejarah pesawat dan memberikan maklumat terperinci tentang spesifikasi teknikalnya.
Laman ini juga mempunyai pangkalan data yang luas merangkumi maklumat tentang pesawat dari pelbagai negara.
Ia sangat berguna untuk individu yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang reka bentuk dan sejarah pesawat tertentu.
Selain itu, Airfleets.net ada menawarkan rekod pesawat syarikat penerbangan di seluruh dunia seperti model pesawat, tahun pembuatan dan status operasi pesawat.
Oleh itu, ia boleh menjadi alat yang berguna untuk pemerhati penerbangan yang ingin memahami perkembangan dalam industri penerbangan.
Selain laman sesawang, terdapat juga aplikasi mudah alih seperti Flight Aware yang membolehkan pengguna mendapatkan maklumat pesawat dengan mudah.
Aplikasi ini mempunyai ciri unik yang membolehkan ia dapat mengecam pesawat yang sedang terbang melalui kamera telefon yang dihadapkan mengarah ke pesawat berkenaan.
Daripada aplikasi ini, kita boleh mendapatkan maklumat seperti kod pendaftaran, laluan penerbangan, kelajuan dan ketinggian pesawat.
Sebagai orang awam, kepuasan mengetahui maklumat pesawat ini mungkin sudah memadai walaupun hakikatnya sistem kod pendaftaran pesawat ini adalah antara elemen paling kritikal dalam keseluruhan ekosistem penerbangan global.
Kod ini bukan hanya membantu kita mengenal pasti pesawat secara individu, malah ia menyokong pelbagai aspek penting dalam pengurusan ruang udara antarabangsa. Sistem ini memastikan keselamatan operasi penerbangan dengan membolehkan setiap pesawat dipantau dan direkod secara sah.
Ia juga melancarkan aliran trafik udara melalui pengesanan kedudukan dan laluan pesawat secara langsung oleh pihak kawalan trafik udara. Pada masa sama, sistem ini berfungsi sebagai asas kepada penguatkuasaan undang-undang penerbangan, terutamanya apabila berlaku pelanggaran peraturan atau kemalangan.
Setiap kod pendaftaran yang sah adalah bukti rasmi bahawa pesawat itu mematuhi peraturan penerbangan negara pendaftan dan piawaian antarabangsa yang ditetapkan ICAO.
Malah lebih penting lagi, kod pendaftaran juga menjamin ketelusan dalam aspek pemilikan dan operasi pesawat. Ia memudahkan siasatan dan pemantauan sekiranya berlaku isu keselamatan, perubahan hak milik atau insiden dalam penerbangan.
Dengan memahami sistem pendaftaran ini, kita bukan sekadar dapat mengecam pesawat yang lalu di atas kepala kita, tetapi juga dapat menyedari betapa kompleks dan tersusunnya sistem pengurusam penerbangan di seluruh dunia.
Setiap kombinasi huruf dan angka yang dicat pada badan pesawat menyimpan rekod penting yang menjadi kunci kepada kepercayaan kita terhadap dunia penerbangan hari ini.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.