
IPOH: Modul Kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) yang sebelum ini berasingan untuk lesen motosikal dan motokar akan diintegrasikan dengan calon hanya perlu menduduki satu kelas teori sahaja berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata penambahbaikan berkenaan dijangka menjimatkan kos selain memendekkan tempoh proses mendapatkan lesen memandu.
“Kedua-dua modul KPP01 motosikal dan motokar yang sebelum ini berasingan, dikemas kini menjadi satu modul pembelajaran sahaja untuk memberikan penekanan tambahan kepada pemanduan secara selamat.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan maklumat lanjut mengenai syarat-syarat, kaedah pelaksanaan dan prosedur pengoperasian,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Ulang Tahun JPJ ke-79 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.
Loke berkata langkah berkenaan adalah antara penambahbaikan penyampaian perkhidmatan JPJ termasuk aplikasi MyJPJ dengan kaedah pembayaran boleh dilakukan melalui TNG e-Wallet selain pembayaran saman melalui aplikasi berkenaan.
“JPJ akan memperkenalkan portal rasmi baharu selari dengan usaha pemodenan dan inovasi termasuk penggunaan teknologi terkini, reka bentuk dan susun atur yang minimalis dan kemas.
“Sebagai tambahan, JPJ akan memperkenalkan saluran tambahan bagi bidaan nombor pendaftaran kenderaan iaitu JPJeBid Mobile yang akan menggunakan teknologi terkini, tanpa gangguan dan mesra pengguna,” katanya.
Loke turut mengumumkan pembinaan sebuah Pejabat JPJ Cawangan di Kuala Kangsar bagi menampung keperluan penduduk selain tujuh cawangan lain di negeri ini.
Pemilihan Perak sebagai lokasi sambutan ulang tahun JPJ ke-79 yang bertemakan ‘Reformasi, Sinergi, Integriti’ cukup signifikan kepada jabatan itu memandangkan pejabat JPJ yang pertama adalah di negeri ini selain sebagai menghargai jasa kira-kira 9,000 warga agensi itu di seluruh negara.
Dalam majlis sama Anthony turut mengumumkan JPJ mengeluarkan nombor pendaftaran istimewa siri A (nombor) A (A____A) sempena sambutan berkenaan.
Bidaan nombor plat itu akan dibuka selama lima hari mulai hari ini hingga 10 malam 23 April melalui sistem JPJeBid dan keputusannya akan diumum 24 April. – Bernama