AirBorneo kaji tambah frekuensi penerbangan ke Jakarta, teroka Bali dan Surabaya

Facebook
WhatsApp
PREMIER SARAWAK....Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen UTS Kali Ke-11 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib, petang tadi.

SIBU, 14 November: Sarawak sedang mengkaji kemungkinan menambah kekerapan penerbangan AirBorneo ke Jakarta, Indonesia, selain memperluas rangkaian laluan ke beberapa bandar utama lain di negara itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan itu turut merangkumi pembukaan laluan baharu ke Bali dan Surabaya.

“Permintaan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke Jakarta telah dikemukakan dan kerajaan negeri akan meneliti potensi serta kebolehlaksanaan cadangan berkenaan,” jelasnya kepada pemberita ketika mengulas cadangan peluasan rangkaian penerbangan AirBorneo ke Indonesia.

Abang Johari berkata, Sarawak melihat peluang besar untuk memperluas rangkaian penerbangan AirBorneo ke destinasi lain di Indonesia.

“Potensinya memang besar. Kita akan membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan,” katanya.

Terdahulu, Abang Johari menghadiri Majlis Konvokesyen UTS Kali Ke-11 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib, petang tadi.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UTS, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Turut hadir Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UTSy Datuk Dr Annuar Rapaee, Pengerusi Lembaga Gabenor UTS, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Hakim Juri dan Naib Canselor UTS, Profesor Ir Ts Dr Mohammad Shahril Osman.

Oleh Akun Giman