
MIRI: Insiden penerbitan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar Sin Chew Daily baru-baru ini menjadi peringatan penting kepada semua pihak tentang sensitiviti terhadap simbol negara.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, berkata Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti kebangsaan.
Oleh itu, sebarang kecuaian dalam penggunaannya perlu ditegur dan disiasat secara teliti mengikut peruntukan undang-undang.
“Dalam menangani isu ini, kita perlu membezakan antara kecuaian editorial dan tuduhan berniat jahat.
“Sebagai syarikat media arus perdana, adalah tidak munasabah untuk menganggap mereka melakukan kesilapan ini dengan sengaja atau berniat jahat.
“Justeru, biarlah siasatan dijalankan tanpa tekanan dan reaksi yang berlebihan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Chiew turut mengambil maklum tindakan proaktif pihak pengurusan Sin Chew Daily yang telah menggantung dua pegawai kanan, memohon maaf secara terbuka, dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Saya menggesa semua pihak agar memberi ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan agar dapat diselesaikan dengan adil dan saksama.
“Kita semua tidak terlepas daripada kekhilafan; yang penting ialah undang-undang ditegakkan dan peristiwa ini menjadi pengajaran bersama.
“Kejadian ini mengingatkan kita tentang pentingnya ketelitian profesional, keperluan kepada garis panduan editorial yang lebih ketat, serta pendidikan sivik yang berterusan daripada bilik darjah hingga ke bilik berita agar setiap warga negara memahami, dan menghormati simbol kebangsaan,” ujarnya.
Chiew turut menyatakan keyakinannya bahawa warga media, sama seperti rakyat Malaysia yang lain, berkongsi rasa cinta mendalam terhadap Jalur Gemilang.
“Adalah tidak wajar untuk menafikan usaha gigih wartawan, jurugambar dan petugas media lain di Sin Chew mahupun di mana-mana organisasi berita lain.
“Setiap hari mereka berkhidmat demi memastikan rakyat menerima maklumat yang sahih serta melaksanakan peranan semak dan imbang terhadap dasar kerajaan.
“Usaha kolektif ini tidak seharusnya dipadamkan,” katanya lagi.
Beliau percaya bahawa proses siasatan yang telus akan memberi pengajaran berguna kepada semua pihak supaya lebih berwaspada dalam melaksanakan tugas masing-masing.
“Demi Malaysia yang bersatu dan harmoni, marilah kita terus menjunjung Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga, menegur secara adil apabila perlu, dan sentiasa berpaksikan kasih sayang kepada tanah air tercinta,” katanya mengakhiri kenyataan.
Oleh Liong Chai Ling