
KUCHING: Dasar Sarawak yang berasaskan tenaga hijau boleh diperbaharui sebagai sumber ekonomi baharu telah mendapat pengiktirafan daripada Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengiktirafan tersebut sekali gus meletakkan Sarawak sebagai antara kuasa ekonomi berpotensi besar di rantau Asia Pasifik.
“WEF sendiri memberitahu kepada saya bahawa mereka dapat melihat kawasan yang mempunyai potensi yang besar dalam pertumbuhan ekonomi di Asia Pasifik ialah Malaysia.
“Di Malaysia pula, Sarawak disebutkan sebagai wilayah yang berpotensi dengan dasar yang diamalkan di sini, berdasarkan kajian yang dibuat oleh mereka (WEF),” dedah beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong 2025, di sebuah hotel, di sini, malam ini.
Tambah beliau lagi, pengiktirafan ini turut merangkumi Bintulu yang kini berada dalam radar dunia sebagai salah satu daripada empat kluster industri rendah karbon di peringkat global. Ini menjadikan Bintulu satu-satunya daerah di Malaysia yang menerima pengiktirafan sedemikian daripada WEF.
Susulan daripada pengiktirafan tersebut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong menegaskan bahawa semua pihak di Sarawak perlu terus bersatu padu dan memanfaatkan kelebihan yang dimiliki. Jelasnya, pendekatan bersepadu dan penerapan idea-idea baharu amat penting dalam usaha membangunkan wilayah ini ke tahap yang lebih tinggi.
Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Dato Idris Buang; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Wakil Khas Premier Sarawak di Gedong, Dato Sri Mohamad Naroden Majais; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee; ADUN Simunjan, Awla Dris; serta tetamu kenamaan yang lain. – UKAS