
SARATOK: Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka sentiasa komited dan terbuka membantu rakyat di konstituensi itu.
ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkata segala keluhan dan permohonan rakyat akar umbi diluar bandar sentiasa mendapat perhatian wakil rakyat daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk dibawa kepada pihak atasan.
“Kita di Pusat Khidmat ADUN Kalaka sering mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan orang penduduk dan bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi membincangkan pelbagai masalah yang dihadapi mereka.
“Alhamdulillah setiap masalah dapat dicari penyelesaiannya secara berhemah. Saya bersama Pusat khidmat ADUN Kalaka bersama KMKK serta agensi kerajaan sentiasa berganding bahu bagi mengenal pasti punca masalah.
“Kerjasama berpasukan ini membolehkan masalah yang dihadapi rakyat dapat diselesaikan,” katanya semasa menerima kunjungan daripada beberapa orang penduduk kampung di Pusat Khidmat ADUN Kalaka di sini hari ini.
Mohamad Duri berkata melalui Pusat Khidmat ADUN Kalaka juga beliau dapat mendengar secara langsung keluhan dan denyut nadi rakyat di konstituensi terbabit.
“Saya percaya dengan aktiviti turun padang dan mengadakan pertemuan bersama rakyat bukan saja dapat menyantuni rakyat, malah khidmat yang ikhlas akan mengeratkan silaturahim dan menjadikan tunjang asas kepada kesejahteraan bersama.
“Segala masalah melibatkan rakyat memerlukan pendekatan yang bijaksana bagi memastikan kesejahteraan mereka terjamin.
“GPS di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah rakyat dengan teliti dengan menyantuni mereka,” ujarnya.
Mohamad Duri menambah, projek di bawah inisiatif kerajaan Sarawak seperti projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) serta projek rakyat telah banyak membantu menyelesaikan masalah rakyat di kawasan luar bandar.
“Ini adalah bersesuaian dengan hasrat kerajaan Sarawak yang memfokuskan kepada pembangunan luar bandar dan seterusnya merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar,” tambahnya.
Oleh Adi Safarman