
BAU: Seorang remaja lelaki yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Libiki, berhampiran Libiki Bamboo Resort di sini, telah ditemui meninggal dunia petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Randle Rich Dunstan, 13 tahun, dipercayai lemas ketika mandi bersama dua rakannya sekitar tengah hari sebelum dilaporkan hilang.
Menurut Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, panggilan kecemasan diterima pada sebelah petang dan jentera pertama tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Jarak lokasi kejadian dari balai dianggarkan kira-kira 10 kilometer.
Komander Operasi, PBK II TBBKI Jelly Lias, berkata sebaik tiba di lokasi, pasukannya segera mendapatkan maklumat daripada saksi sebelum melakukan penilaian awal di kawasan mangsa dipercayai hilang.
Bertindak atas arahan Pusat Gerakan Operasi (PGO), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) digerakkan ke lokasi.
Pasukan penyelamat lengkap dengan peralatan Perlindungan Diri (PPE) memulakan pencarian di permukaan air, sekitar 20 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
Pencarian turut diperluaskan ke kawasan hilir sungai sebelum keseluruhan pasukan PPDA tiba dan menyertai operasi.
Menjelang petang, jasad mangsa akhirnya ditemui oleh penduduk kampung di dasar sungai, kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kematian mangsa sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Oleh Amanda L.