
KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Malaysia Kenneth Jonassen menegaskan ketahanan mental dan semangat berpasukan yang tinggi amat penting buat pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao dan Justin Hoh, menjelang kejohanan Piala Sudirman 2025 yang akan berlangsung di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei ini.
Jonassen berkata perlawanan peringkat kumpulan menentang Perancis pada 28 April, diikuti Australia (29 April) dan Jepun (1 Mei) bagi Kumpulan C memberi hala tuju yang jelas dari segi perancangan strategi dan mengenal pasti kekuatan yang boleh dimanfaatkan oleh pasukan negara.
“Latihan berjalan dengan lancar. Saya suka latihan yang turut mencabar pemain kerana dalam mana-mana perlawanan, sama ada peringkat tinggi atau kejohanan besar pemain perlu mengatasi pelbagai rintangan sepanjang perlawanan.
“Apabila bermain dalam perlawanan berpasukan, saya rasa sangat penting untuk mempunyai minda berpasukan, iaitu tidak kira apa yang sedang dihadapi terus berusaha memberikan yang terbaik dan berjuang hingga ke akhir,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.
Ditanya mengenai ketiadaan pemain persorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia yang masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan buku lali kanan, Jonassen mengakui ia merupakan cabaran buat pasukan tetapi akan terus kekal positif.
“Sudah pastinya apabila kita tidak mempunyai pemain utama yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, ia satu cabaran.
“Itulah kenyataan yang kita perlu hadapi kali ini, namun kita akan buat yang terbaik untuk beri sokongan dan berusaha sedaya upaya,” katanya. – Bernama