BAU: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Libiki berhampiran kawasan Libiki Bamboo Resort di sini, petang tadi.
Menurut laporan awal Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada sebelah petang.
Setibanya jentera di lokasi, Komander Operasi, PBK II TBBKI Jelly Lias memaklumkan bahawa pihaknya segera mendapatkan maklumat daripada saksi kejadian sebelum menjalankan penilaian awal di kawasan mangsa dipercayai hilang.
Bertindak atas maklumat tersebut, Pusat Gerakan Operasi (PGO) mengarahkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ke lokasi bagi melaksanakan operasi pencarian.
Pasukan penyelamat yang lengkap dengan kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) memulakan pencarian permukaan di sekitar kawasan sejauh 20 meter dari lokasi mangsa kali terakhir dilihat.
Beberapa anggota PPDA yang diketuai oleh PBK I Abdul Hakim Sufian turut dikerahkan ke lokasi menggunakan kenderaan utiliti jenis Hilux dan van Urvan bagi memperkuatkan operasi mencari dan menyelamat.
Setakat ini, operasi masih diteruskan dan mangsa masih belum ditemui.
Oleh Amanda L.