
SIBU: Peminat sukan kenderaan pacuan empat roda diseru untuk meneroka lokasi tersembunyi di Sarawak yang berpotensi dijadikan destinasi pelancongan baharu yang menarik dan mencabar.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, berkata Sarawak mempunyai kelebihan dari segi keluasan geografi, keindahan alam semula jadi serta kawasan pedalaman yang masih belum diterokai sepenuhnya.
“Ramai pelancong moden gemarkan suasana alam semula jadi, aktiviti berkhemah dan cabaran ‘off-road’. Selain itu, budaya unik masyarakat Dayak turut memberikan nilai tambah kepada sektor pelancongan.
“Kawasan pedalaman yang sukar diakses memerlukan kenderaan pacuan empat roda, bukan sahaja untuk membawa pelancong, tetapi juga dalam menyampaikan bantuan dan barangan keperluan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Khas beliau, Agatha Ting, semasa majlis pelepasan peserta Karnival 4 x 4 Sarawak ke-9 di Pulau Li Hua di sini, hari ini.
Karnival anjuran Kelab Pemilik 4 x 4 Sibu itu berlangsung selama tiga hari di Batu 13, Jalan Sibu-Bintulu, dengan penyertaan lebih 20 buah kenderaan dari seluruh Borneo termasuk Kuching, Serian, Sibu dan Bintulu di Sarawak serta Keningau, Kinabatangan dan Kota Belud di Sabah.
Peserta dari Brunei turut memeriahkan acara tahunan tersebut.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, berkata objektif utama penganjuran karnival ini adalah untuk menjadikan sukan ‘off-road’ sebagai platform bagi melaksanakan aktiviti kebajikan.
“Dalam dunia yang serba pantas dan mencabar, semangat seperti ini amat dihargai dan wajar dijadikan contoh.
“Ini membuktikan bahawa sukan ‘off-road’ bukan sekadar cabaran fizikal semata-mata, tetapi juga medium untuk menyemai nilai-nilai positif dalam masyarakat,” katanya.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak kelab pacuan empat roda menggerakkan inisiatif kemasyarakatan seperti pemeriksaan kesihatan percuma di rumah panjang, bantuan bencana serta penghantaran bekalan ke kawasan pedalaman.
“Semasa musim tengkujuh dan keadaan jalan tidak sesuai untuk kenderaan biasa, kenderaan pacuan empat roda amat diperlukan untuk menyalurkan bantuan kepada komuniti yang terpinggir, sekali gus mempercepatkan pembangunan infrastruktur luar bandar,” tambah beliau.
Dalam program sama, Kelab Pemilik 4X4 Sibu turut menyumbang sebanyak RM3,000 kepada pertubuhan kebajikan Hope Place Kuching.
Turut hadir, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Stanley Chew, Pengerusi Kelab Pemilik 4X4 Sibu Ngu Kieh Hoh serta pengasas Hope Place Kuching Kelvin Wan.
Oleh Tarani Lanting