
KUALA LUMPUR: Pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak tidak akan memberi sebarang kesan kewangan terhadap penyata untung rugi (P&L) Malaysian Aviation Group (MAG).
Pengarah Urusannya, Datuk Kapten Izham Ismail berkata MASwings bukanlah sebuah syarikat yang menjana keuntungan tetapi organisasi kewajipan perkhidmatan awam.
“Bagi kami ia adalah ‘zero-sum game’. Pada tahap tertentu, pengambilalihan ini menyelesaikan cabaran MAG untuk menguruskan MASwings dan merupakan langkah ke hadapan,” katanya semasa taklimat media mengenai Prestasi Tahunan MAG 2024 hari ini.
Zero sum game bermaksud keuntungan hanya menyebelahi satu pihak.
MAG menandatangani perjanjian jual beli dengan kerajaan Sarawak untuk memuktamdkan pemindahan hak milik MASwings pada 12 Februari, 2025.
Kerajaan Sarawak berhasrat untuk menjenamakan semula MASwings sebagai AirBorneo dan mengendalikannya sebagai syarikat penerbangan milik kerajaan negeri.
Izham berkata walaupun syarikat penerbangan itu tidak menjana keuntungan, ia menerima insentif tahunan kerajaan.
“Apa yang kami peroleh daripada MASwings hanyalah dalam bentuk insentif sahaja dengan nilai kira-kira RM10 juta setahun. Secara bulanan atau harian, ia adalah bersifat ‘zero-sum game’. Kami tidak mengalami kerugian, pada masa sama tidak meraih keuntungan,” katanya.
Izham berkata MASwings beroperasi untuk memastikan hubungan luar bandar (pengangkutan udara) di bawah kewajipan perkhidmatan awam diberi mandat oleh kerajaan.
“Justeru, tiada kesan kepada P&L. Ia adalah zero-sum game. Anda mungkin bertanya mengapa kami menggunakan MASwings selama ini. Ini kerana kewajipan perkhidmatan awam Perkhidmatan Udara Luar Bandar,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa MASwings telah memainkan peranan penting dalam menyokong pembinaan negara, ia adalah tanggungjawab MAG untuk memastikan bandar dan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak kekal terhubung. – Bernama