
SIMANGGANG: Seramai 32 ahli Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) telah mengangkat sumpah jawatan mereka dekat sini semalam.
Pelantikan ahli majlis tersebut melibatkan seramai 22 ahli yang dilantik semula manakala 10 ahli lagi adalah lantikan baharu bagi tempoh 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian telah hadir bagi menyaksikan upacara mengangkat sumpah pada majlis tersebut.

Selepas acara angkat sumpah jawatan, ahli Majlis turut melafazkan Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai Kaunselor Anthony Abell Chendan selaku Pengerusi MDSA.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata berdasarkan hierarki pengurusan pentadbiran, ahli Majlis merupakan exco pentadbiran dalam kerajaan tempatan yang berfungsi sebagai pembuat dasar dalam pembangunan kawasan majlis dan pembuat keputusan.
“Maju mundur sesebuah bidang kuasa majlis terletak pada keberkesanan pengurusan.
“Ahli majlis perlu bertindak cekap dan bekerjasama dengan rakan lain dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat seiring dengan aspirasi kerajaan Sarawak dalam proses membina negara bangsa melalui kerangka Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” jelasnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, wakil Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ivy Suli Untup dan Pemangku Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh.
Oleh Adi Safarman