
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menerima kunjungan hormat Lembaga Pemegang Amanah Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Kunjungan bertujuan membentangkan status dan perkembangan terkini yayasan tersebut serta membincangkan pelbagai usaha memperkasa dan memelihara warisan budaya Melayu di negeri ini.
Dalam pertemuan itu juga, pihak AKYBMS telah menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi untuk menghadiri Majlis SAMArindok Aidilfitri AKYBMS 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 23 April ini di Hotel Riverside Majestic, Kuching.
Selain itu, satu taklimat ringkas turut diadakan mengenai projek pembangunan Wisma Melayu Sarawak dan Muzium Melayu Sarawak yang kini sedang dalam perancangan.
Projek ini dilihat sebagai inisiatif penting dalam memperkukuhkan identiti serta warisan budaya Melayu di Bumi Kenyalang.
Turut hadir Timbalan Premier merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Pengerusi LPA AKYBMS Dato Sri Mohamad Naroden Majais, serta Ahli LPA AKYBMS, Dato Sri Julaihi Narawi dan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.