SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri telah bersetuju untuk membina sebuah jeti kayu tebelian dan pembinaan lorong simen di Kampung Tengah di sini.
Persetujuan itu diumumkan oleh beliau ketika melakukan lawatan ke Kampung Tengah bagi memantau tahap kemudahan penduduk termasuk nelayan yang berada di penempatan tersebut pagi semalam.
“Nelayan di sini telah memohon perhatian saya untuk membantu mereka membina kemudahan jeti kayu tebelian bagi memudahkan mereka turun ke sungai untuk tujuan aktiviti tangkapan ikan dan sebagainya di situ.
“Setelah memantau kawasan tebingan sungai di perkampungan berkenaan, saya bersetuju untuk membina jeti kayu di situ agar para nelayan dapat bergerak dengan selesa untuk mencari rezeki di sungai itu nanti,” kata beliau.
Bagaimanapun, kos pembinaan dan panjang jeti tersebut kata Simoi akan ditentukan kelak menerusi satu mesyuarat yang bakal diadakan dalam masa terdekat termasuk kos serta panjang jalan simen di perkampungan tersebut kelak.
“Saya akan bertindak menyediakan bahan binaan bagi tujuan pembinaan jeti kayu tebelin dan lorong simen di Kampung Tengah di sini sekiranya selesai mesyuarat berhubung projek itu nanti,” kata beliau.
Simoi juga berharap agar penduduk terus memberi kerjasama terhadap agensi perlaksana dan kontraktor berkaitan sekiranya kedua-dua projek berkenaan mula dilaksanakan di perkampungan mereka nanti.
“Paling penting sekali ialah penduduk haruslah bersabar dan melaporkan kepada saya jika berlaku kekurangan kemudahan di dalam penempatan mereka ini dari semasa ke semasa,” kata beliau.
Ketibaan Simoi ke Kampung Tengah berkenaan juga turut diiringi oleh Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Ketua Masyarakat dan penduduk setempat.
Oleh Valentine Ngumbang