
SIBU: Seramai 11 kakitangan Penjara Pusat Sibu (PPS) bakal menyertai Ekspedisi Menakluk Puncak Gunung Kinabalu 2025 yang dijadual berlangsung pada 16 hingga 17 April ini.
Majlis pelancaran rasmi ekspedisi tersebut telah diadakan di Dewan Kakitangan PPS dan disempurnakan oleh Pengarah PPS, Mohd Rusli Abd Rahman.
Mohd Rusli dalam ucapannya menyuntik semangat kepada para peserta yang terdiri daripada lelaki dan wanita, serta menzahirkan harapan agar ekspedisi sulung ini berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Ekspedisi ini diketuai oleh TPP Ku Hakimi Ku Halim dengan bantuan KIP Ahmad Aznu Aziz Pung.
Program ini menjadi simbolik kepada tahap kesiapsiagaan fizikal dan mental peserta, di samping mencerminkan semangat jati diri dalam kalangan warga PPS.
Majlis turut diserikan dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Ustaz Adam Malik Bolhassan sebagai tanda sokongan dan perlindungan kepada peserta ekspedisi.
Oleh Tarani Lanting