ANTALYA, 9 November: Fenomena El Nino dijangka memburukkan risiko penyakit berkaitan haba, penularan wabak dan pencemaran udara sehingga 2027, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), Celeste Saulo hari ini, lapor Anadolu Ajansi.
Bercakap pada taklimat media sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Saulo berkata suhu yang melebihi paras purata boleh mencetuskan ancaman kesihatan yang bukan sahaja berpunca daripada pendedahan langsung kepada cuaca panas melampau.
“Kami juga sedang membicarakan mengenai penularan denggi dan malaria,” katanya sambil menjelaskan bahawa tahap risiko berbeza mengikut rantau, bergantung pada corak taburan hujan.
“Jika kita menjangkakan keadaan panas dan kering, kebakaran hutan akan berlaku. Apabila kebakaran hutan berlaku, kualiti udara pula akan merosot,” katanya.
Saulo berkata WMO bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat mengenai risiko kesihatan berkaitan cuaca.
“Kami bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi menterjemahkan maklumat mengenai corak cuaca kepada impak terhadap kesihatan,” katanya.
Menurut laporan Kemas Kini Status Iklim 2026 oleh WMO, fenomena El Nino dijangka mencapai kekuatan rekod menjelang Disember dan berterusan sehingga awal 2027.
Laporan itu turut menyatakan bahawa purata suhu global dari Januari hingga September 2026 adalah kira-kira 1.47 darjah Celsius lebih tinggi berbanding paras praindustri.
Menurut laporan itu, El Niño lazimnya memberikan kesan paling ketara terhadap suhu global pada tahun berikutnya selepas fenomena itu terbentuk.
“Kita sedang mendorong cuaca ke tahap melampau dan El Nino akan bertindak sebagai pengganda risiko,” kata Saulo dalam kenyataan yang mengiringi laporan itu.
“Gelombang haba, siklon tropika dan ribut hujan semakin meningkat dengan lebih pantas berbanding jangkaan berdasarkan rekod sejarah,” katanya. – Bernama




