
KABONG: Penduduk di Kampung Nyabor bakal menikmati pembangunan baharu dengan kelulusan pembinaan sebuah dewan masyarakat yang baharu bagi memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 penduduk di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata projek pembinaan sebuah Dewan Masyarakat Kampung Nyabor yang baharu itu bernilai RM4 juta telah diluluskan oleh Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Katanya apabila terbinanya dewan baharu ini kelak, sudah pasti setiap aktiviti sukan dan riadah yang melibatkan penduduk disini akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
“Pembinaan dewan masyarakat tersebut akan bermula sebaik sahaja dokumentasi, kontraktor serta proses tender dilakukan, dan lokasi tapak pembinaan dewan itu telah dikenal pasti.
“Ia sekali gus bakal memberi kemudahan kepada masyarakat di sekitarnya, serta membuktikan keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap keperluan rakyat,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Masjid Tok Amal, Kampung Nyabor, dekat sini semalam.
Chee Kadir berkata Dewan Masyarakat Kampung Nyabor yang bakal dibina itu adalah bagi menggantikan dewan sedia ada yang telah terbakar pada Februari 2022 lalu.
Beliau berkata bagi kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), tidak ada yang lebih menggembirakan selain dapat menunaikan janji dan menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat untuk segenap lapisan rakyat.
Katanya lagi, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong kini semakin membangun di bawah kerajaan GPS melalui kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Malah tambahnya, pelbagai projek pembangunan yang berimpak tinggi diluluskan untuk kemudahan rakyat bukan sahaja di Kabong tetapi juga kawasan sekitarnya.
“Sewajarnya, kita harus berterima kasih kepada Premier Abang Johari yang berpandangan jauh. Ini satu penghargaan untuk beliau yang banyak membantu membangun dan mengubah wajah Kabong hari ini,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Chee Kadir turut menyempurnakan simbolik penyampaian geran khas projek kerajaan Sarawak kepada Masjid Tok Amal Kampung Nyabor berjumlah RM5,000.
Turut hadir Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Tok Amal Nyabor, Penghulu Abdul Wahab Samsu, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Nyabor (LAKIN), Ustaz Hamsawi Mohd Madeka, Timbalan Ketua Cawangan PBB Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kabong, Abdullah Sulaiman, Naib Ketua Cawangan PBB Kabong, Maini Spawi dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Kabong, Nurain Abdullah.
Oleh Adi Saparman