BELAGA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chuk Pai Ugon turun padang meluangkan masa memantau perkembangan projek rakyat di kawasan Long Urun, Belaga.
Menurutnya, projek berkenaan juga penting dalam memberi impak kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Syukur kepada Tuhan kerana dapat bersama-sama meluangkan masa memantau perkembangan-perkembangan projek rakyat di kawasan Long Urun, Belaga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi lawatan kerja di kawasan seterusnya meninjau perkembangan projek di Long Urun, Belaga.
Dalam lawatan itu, beliau sempat mengadakan mesyuarat bersama Syarikat Perladangan Urun Plantation Sdn Bhd.
“Kita telah berbincang beberapa perkara berkenaan tanggungjawab sosial pihak syarikat kepada penduduk setempat serta lain-lain isu dan mesyuarat ini turut dihadiri oleh pihak pengurusan ladang dan wakil penduduk tempatan,” katanya.
Sejurus itu, beliau turut memantau perkembangan di Bangunan Perkhidmatan Luar Bandar (Rural Service Centre-RSC) Long Urun.
Tambahnya, projek berkenaan dibina untuk tujuan menyediakan tempat dan kemudahan untuk pelbagai Jabatan dan Agensi Kerajaan, Pihak Swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Ini bagi membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan dan melaksanakan aktiviti masing-masing,” ujarnya.
Untuk rekod, bangunan RSC Long Urun tersebut telah dirasmikan pada 19 April 2018.
Dalam pada itu, beliau juga bersempatan memantau perkembangan Projek “Upper Rejang Development Agency (URDA): Proposed Upgrading of Existing Village Road to SK Long Urun” yang merupakan salah satu projek Kerajaan Sarawak yang dilaksanakan oleh agensi pelaksana RECODA.
Sehubungan itu katanya, semua rancangan pembangunan dan aktiviti-aktiviti pembangunan di kawasan Long Urun akan memberi impak positif kepada golongan sasar khasnya memberi manfaat kepada 15 buah rumah panjang, sebuah Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Long Urun.