
SIBU: Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia (PPSM) menghulurkan bantuan kepada tiga persatuan gabungannya di Sarawak yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, dalam usaha meringankan beban ditanggung para pekebun.
Setiausaha PPSM, Tan Chee Kiong berkata, selain sumbangan wang tunai daripada persekutuan itu, sembilan syarikat turut tampil menyumbangkan bekalan pertanian bernilai kira-kira RM300,000.
Tiga persatuan terbabit ialah Persatuan Penanam Sayur Sibu, Persatuan Penanam Bahagian Miri Sarawak dan Persatuan Petani Bintangor.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua sembilan penaja atas bantuan mereka dalam menyediakan bekalan seperti benih, racun serangga, racun rumpai dan baja kepada tiga persatuan kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan simbolik bantuan berkenaan di sini, semalam.
Tan berkata, PPSM sebelum ini pernah meminta maklumat daripada para pekebun terjejas untuk memohon dana bencana daripada kerajaan namun tiada maklum balas diterima setakat ini.
“Sehubungan itu, kami merasakan keperluan untuk menghulurkan bantuan sendiri kepada para pekebun yang terkesan,” katanya.
Menurut beliau, PPSM komited menyokong ahli-ahli gabungannya dan inisiatif kali ini adalah lanjutan daripada program seumpama yang dilaksanakan di Johor pada 2023.
“Bagi tahun ini, apabila mengetahui Sarawak turut terjejas akibat banjir, kami menyedari betapa pentingnya membantu pekebun di sini,” katanya.
Sementara itu, Tan turut memaklumkan bahawa Persidangan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Sayur dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2025 akan diadakan di Sibu pada 10 dan 11 Mei ini.
Katanya, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dijangka merasmikan persidangan, manakala Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing akan merasmikan Majlis Makan Malam Gala.
Majlis penutupan pula akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh.
“Setakat ini, kita menjangkakan kehadiran sekitar 320 pekebun dari Semenanjung Malaysia. Ini adalah perkembangan yang amat positif bukan sahaja untuk Sibu, malah juga bagi PPSM secara keseluruhan,” katanya.
Turut hadir Penolong Pegawai Pertanian Sibu, Insol Bindu; Timbalan Presiden PPSM, Ibrahim Roslan; dan Pengerusi Persatuan Penanam Sayur Sibu, Tieu Kiu Sing.
Oleh Tarani Lanting