
KOTA SAMARAHAN: Kesesakan yang sering membelenggu pengguna Lebuhraya Samarahan-Kuching dijangka bakal berkurang apabila projek jalan alternatif dari Bukit Merak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sedang dibina.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, laluan baharu itu merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan hasil permohonan kerajaan negeri yang bertujuan menambah akses keluar masuk ke kawasan pesat membangun seperti Stakan dan Kota Samarahan.
“Ini adalah salah satu perancangan kerajaan untuk menyediakan lebih banyak jalan keluar masuk dalam kawasan Samarahan ini.
“Projek ini adalah di bawah Kerajaan Persekutuan dan dimohon oleh kerajaan negeri. Saya difahamkan oleh pihak kontraktor, perkembangan projek ini sangat baik.
“Insya-Allah, fenomena jem di Jalan Samarahan ini akan dapat sedikit dikurangkan sebab ada jalan alternatif menghubungkan Kuching dengan Samarahan,” katanya semasa ditemui media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025, hari ini.
Beliau mengulas lanjut bahawa laluan tersebut akan merentasi kawasan Stakan sebelum tembus ke Jalan Muhammad Musa dan dijangka siap sepenuhnya mungkin pada tahun hadapan.
“Saya akan turun padang dalam masa terdekat bersama pihak kontraktor untuk meninjau kemajuan pembinaan. Kos rasmi belum diumumkan namun dianggarkan melebihi RM100 juta,” jelasnya.
Majlis turut menyaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada penerima daripada pelbagai kategori, termasuk rumah ibadat, sekolah, kelab, persatuan dan JKKK.
Beliau menambah, sebahagian peruntukan tersebut disalurkan kepada persatuan belia bagi membantu menjayakan program sosial dan ekonomi yang lebih meluas di peringkat komuniti.
“Saya sedang cari jalan dan idea supaya lebih ramai belia boleh terlibat, bukan saja dalam aktiviti sosial tapi juga ekonomi,” katanya.
“Saya juga rasa gembira atas sambutan menggalakkan yang diterima sempena Rumah Terbuka kali ini dengan kehadiran tetamu berada di luar jangkaan, termasuk rakan-rakan dari dalam dan luar kawasan.
“Sebanyak 70 penerima menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM280,000,” ujarnya.
Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian serta tetamu kehormat lain.
Oleh Masrin Affirah