

SARATOK: Konsep rumah terbuka yang diamalkan selama ini akan terus digunakan sebagai landasan perantara meningkatkan semangat perpaduan dan merapatkan jurang yang telah wujud selama ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata amalan sebegini akan terus digunakan sebagai medan pertemuan yang paling kukuh dan padu.
“Saya secara peribadi sering merasakan penganjuran rumah terbuka seperti Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak dan Tahun Baharu Cina mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Corak dan cara sambutan yang berbeza mengikut perayaan menjadikan adat dan tradisi ini penarik utama untuk masyarakat lain merasai keunikan, terutamanya di dalam penyediaan kepelbagaian juadah makanan.
“Ia sememangnya telah terbukti menjadi salah satu faktor utama kepada penyatuan keluarga dan keakraban masyarakat kita, khususnya di Sarawak, yang kita cintai,” katanya semasa berucap merasmikan majlis Ramah Tamah Aidilfitri Berayo Bersamo ADUN Kalaka di Gelanggang Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Min Syn, pagi tadi.
Mohamad Duri menambah majlis yang dianjurkan itu turut mencerminkan keindahan budaya negara yang berbilang kaum dan agama, yang mana kita semua dapat duduk bersama, berkongsi rezeki serta saling mengenali dengan lebih rapat.
“Saya yakin dan percaya, majlis rumah terbuka seperti ini boleh dijadikan sebagai salah satu landasan untuk kita meluangkan masa bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan serta kejiranan serta jalinan sosial, seperti yang telah digariskan di dalam salah satu daripada tujuh sektor Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi mencapai cita-cita menjadikan Sarawak sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Perpaduan adalah asas kekuatan negara kita. Kita telah melalui pelbagai cabaran, tetapi semangat muhibah antara kaum telah menjadi tonggak kestabilan dan kemakmuran Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.
“Sehubungan itu, marilah kita terus menyuburkan nilai-nilai toleransi, hormat-menghormati dan kasih sayang dalam kehidupan seharian kita. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengajak semua terus mengeratkan hubungan tanpa mengira latar belakang dan perbezaan,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis tersebut, ADUN Krian Friday Belik, Pegawai Daerah Saratok Mohammad Dino Amid, Pemanca Sahari Gani Pemanca Lim Guan Ann, ketua-ketua masyarakat, ketua-ketua jabatan serta penduduk yang hadir.
Oleh Adi Safarman