
BETONG: Kakitangan kerajaan terutamanya di Bahagian Betong harus terus memberikan perkhidmatan terbaik serta terus bekerja sebagai satu pasukan bagi mencapai impian menjadikan Sarawak maju berpendapatan tinggi.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kakitangan kerajaan menjadi penggerak pembangunan berterusan terutamanya di Bahagian Betong sejak dahulu hingga kini.
Katanya, sumbangan besar kakitangan kerajaan telah memastikan setiap program pembangunan berjalan lancar seperti yang dirancang sejak pertama kali menceburi arena politik pada 1977.
“Bahagian Betong yang kita lihat sekarang jauh lebih maju berbanding pada 1977, ketika saya mula terlibat dalam politik. Kemajuan ini tidak boleh dicapai tanpa komitmen kakitangan kerajaan yang memastikan kelancaran pelaksanaan setiap program pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Kakitangan Kerajaan Bahagian Betong yang diadakan di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong, semalam.
Uggah berkata kakitangan kerajaan perlu memahami setiap masalah dalam menjalankan tugas supaya penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
“Setiap pejabat kerajaan mempunyai tanggung jawab dan fungsi terutama dalam membantu golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Majlis tersebut dihadiri lebih 600 kakitangan kerajaan dari seluruh Bahagian Betong dan turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada 45 kakitangan kerajaan yang telah bersara dan 27 orang yang telah berpindah bekerja di luar Betong.
Majlis ini bukan sekadar mengenang jasa, malah menjadi simbol kesepaduan dan komitmen penjawat awam dalam menyokong pembangunan berterusan di Bahagian Betong.
Lebih 30 agensi kerajaan turut mengambil bahagian membuktikan sokongan dan semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan perkhidmatan awam.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, ADUN Krian, Friday Belik, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi dan Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas.
Oleh Adi Saparman