REAL Madrid hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan gelaran La Liga Sepanyol setelah mereka menghalang kebangkitan babak kedua Granada semalam untuk menang 2-1 dan berada empat mata di hadapan Barcelona.
Dengan baki dua perlawanan lagi, Madrid akan dinobatkan sebagai juara jika mereka mengalahkan Villarreal di tempat sendiri pada Jumaat tanpa menghiraukan apa yang berlaku ke atas Barca di Camp Nou menentang Osasuna.
Tetapi mereka dipaksa bekerja keras oleh pasukan Granada yang bersaing untuk mendapat tempat dalam pertandingan Eropah dan boleh dikatakan pasukan yang membuat kejutan dalam La Liga musim ini setelah dinaikkan daripada divisyen dua tahun lalu.
Ferland Mendy dan Karim Benzema kelihatan seperti memberi kemenangan mudah buat Madrid di Los Carmenes tetapi Granada berubah setelah rehat dan jaringan Darwin Machis pada minit ke-50 memberi mereka harapan.
Madrid yang semakin gementar dipaksa bertahan di peringkat akhir perlawanan dan memerlukan Sergio Ramos untuk mengeluarkan bola daripada melepasi garisan gol ketika pasukan Zinedine Zidane bertahan untuk mempertahankan kemenangan kesembilan berturut-turut mereka.
“Visi kami ketika kami memulakan setiap musim adalah memenangi liga,” kata Zidane. “Masih ada dua perlawanan. Kami sudah dekat tetapi kami belum sampai di sana.”
Ketika wisel penamat dibunyikan, Zidane meraung lega dan Ramos menumbuk ke udara setelah melalui ujian paling sukar mereka sejak liga disambung semula.
“Kami tidak boleh berehat, kami agak dekat tetapi kami harus meneruskannya,” kata Ramos setelah itu.
“Kami leka sedikit dalam babak kedua. Kami memenangi separuh pertama dan kalah dalam babak kedua dan mungkin itu adalah peringatan buat kami. Kami harus memastikan kami tidak mengulangi kesilapan itu.”
Madrid boleh menjuarai La Liga buat kali ketiga dalam tempoh lapan tahun di Stadium Alfredo di Stefano pada malam Jumaat. “Ini sangat bermakna,” kata Ramos.
“Ini hadiah di atas persembahan konsisten kami sepanjang tahun. Mungkin kita mempunyai masa yang sukar selama penangguhan dan kami kembali dan memberi reaksi. Kami berada dalam perlumbaan dan semoga pada hari Jumaat kami dapat merayakannya.”
Sekiranya Madrid tercicir menentang Villarreal, mereka masih mempunyai peluang kedua pada hari Isnin apabila mereka menamatkan musim di Leganes sementara Barcelona mengunjungi Alaves.
Gol Machis merupakan yang pertama dilepaskan oleh Madrid dalam enam perlawanan tetapi tidak banyak yang menjangkannya selepas separuh pertama. – AFP